KEJAYAAN Lembaga Zakat Selangor (LZS) Majlis Agama Islam Selangor mengutip lebih RM202 juta bagi tahun 2007 adalah cukup
membanggakan. Pencapaian hasil melebihi sasaran LZS iaitu RM170 juta antara lain adalah berikutan promosi berterusan LZS dan juga peningkatan kesedaran tentang kefarduan berzakat di kalangan umat Islam.
Bagaimanapun, angka kutipan itu diyakini lebih tinggi jika semua umat Islam yang layak mengeluarkan zakat berbuat demikian. Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto IZHAM JAAFAR menemu bual Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar bagi mengupas isu ini.
MR: Hadis Rasulullah s.a.w. ada menyebut “Jika kamu hendak mencapai kejayaan di dunia dan akhirat hendaklah kamu berilmu.”Apakah peranan LZS dalam memastikan hal ini diberi perhatian oleh para asnaf?
AHMAD SHAHIR: Kita memang menitik beratkanaspek ilmu dan kemahiran kepada fakir miskin secara agresif sejak tahun 2000. LZS melihat soal membasmi kemiskinan ini bukan tentang material sahaja
sebaliknya ia lebih kepada pengisian ilmu ataupun modal insan seseorang itu.
Sebab itu, LZS menyediakan program pembangunan insan yang menyeluruh kepada para asnaf melibatkan bukan sahaja ibu bapa tetapi juga anak-anak mereka. Program itu diatur mengikut peringkat
umur anak-anak iaitu di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Kita melihat bagi membasmi kemiskinan kita tidak boleh bagi modal sahaja sebaliknya kena bagi ilmu supaya mereka boleh berniaga atau berdikari. Malah tiga teras utama pembasmian kemiskinan LZS ialah
menyediakan rumah, peningkatan tahap ekonomi dan juga aspek pelajaran.
Bagi anak-anak yang tidak berjaya dalam pelajaran, kita menghantar mereka mengikuti kursus kemahiran seperti automotif, jahitan, katering, teknologi maklumat dan sebagainya. Ia dijalankan melalui
kerjasama dengan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat, Kolej Inspens di Pulau Indah, Klang dan juga Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Selangor.
Setakat ini, lebih 400 anak asnaf yang menerima bantuan LZS melanjutkan pelajaran dalam dan luar negara termasuk di Universiti Al-Azhar, Mesir. Alhamdulillah, dalam tempoh satu ke dua tahun, kita
dapat melihat perubahan di kalangan anak-anak dan asnaf. Mereka mempunyai jati diri, sekali gus menghilangkan rasa rendah diri apabila berhadapan dengan masyarakat.
MR: Walaupun kutipan LZS melebihi RM202 juta tahun lalu tetapi masih ada umat Islam yang lebih suka mengeluarkan zakat terus kepada asnaf terlibat. Apakah implikasi hal ini jika ia berterusan?
AHMAD SHAHIR: Memang perkara ini masih wujud tetapi jumlahnya makin berkurangan. Antarasebabnya, kaedah ini sudah digunakan sejak lebih 50 tahun lalu sedangkan institusi zakat seperti LZS hanya berkembang kira-kira 12 tahun lepas. Maknanya, masyarakat perlu diyakinkan tentang keberkesanan institusi zakat baik dari segi kutipan
dan agihan sebelum mereka membayar melalui kita. Bagaimanapun, alhamdulillah sejak 10 tahun kebelakangan ini keyakinan umat Islam terhadap LZS semakin bertambah. Semakin ramai yang akur dan ini dibuktikan melalui kutipan zakat kita yang melebihi sasaran tahun lalu.
Jika hal ini (membayar terus kepada asnaf) berterusan memanglah ia akan memberi kesan kepada jumlah kutipan. Namun, jangan kita lupa
kepada penegasan Allah tentang peranan amil sebagai pengurus zakat seperti yang dijelaskan menerusi firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 60.
Malah, tahun lalu Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa mereka yang mengagih zakat sendiri adalah sah hukumnya tetapi berdosa kerana tidak mengikut arahan pemerintah (ulil amri).
Apa yang dibimbangkan ialah bantuan terus kepada asnaf yang tidak dipantau akan menyebabkan mereka menjadi malas bekerja. Ataupun, mereka menerima terlalu banyak bantuan sehingga melebihi keperluan sedangkan ada orang lain sama yang juga layak menerima bantuan zakat.
MR: Berapakah jumlah bantuan dan ke manakah LZS mengagihkan hasil kutipan zakat tahun lalu?
AHMAD SHAHIR: Pada tahun lalu, kita berjaya mengutip wang zakat sebanyak RM174.5 juta. Daripada jumlah itu sebanyak RM70.1 juta diagih kepada asnaf fisabilillah, asnaf miskin (RM51.6 juta), asnaf amil (RM23.7 juta), asnaf gharim (RM17.4 juta), asnaf mualaf (RM8.4 juta), asnaf fakir (RM1.9 juta), asnaf riqab (RM896,683) dan ibnu sabil (RM408,178). Jumlah agihan LZS tahun lalu meningkat sebanyak 20 peratus berbanding sebanyak RM146.9 juta tahun 2006.
Bagaimanapun, kami mempraktikkan pengagihan zakat menerusi tujuh program utama iaitu Program Pembangunan Ekonomi, Program Pembangunan Sosial, Program Pembangunan Pendidikan, Program
Dakwah dan Peningkatan Ilmu, Program Pembangunan Insan, Program Pembangunan Kebajikan serta Program Pembangunan Institusi Keluarga.
Kutipan LZS juga diaudit oleh akauntan bertauliah pada bulan Mac setiap tahun. Pengurusan kewangan yang telus ini penting untuk membina keyakinan umat Islam terhadap institusi seperti LZS.
MR: Apakah jaminan bahawa proses pemilihan golongan asnaf di peringkat pembantu amil dan ketua amil bebas daripada sebarang pilih kasih atau fahaman politik?
AHMAD SHAHIR: Kita mengamalkan pendekatan zakat adalah untuk umat Islam yang layak. Inilah yang selalu kita terapkan di kalangan para amil dan pembantu amil sebagai pemegang amanah dalam bab
ini. Hal ini sentiasa ditegaskan dalam setiap taklimat kita kepada para amil.
Mereka perlu melaksanakan tugas dengan jujur dan ikhlas. Justeru menjadi tanggungjawab amil memastikan bahawa mereka yang layak menerima bantuan zakat. Jadi tidak timbul soal pilih kasih, pilih
bulu atau ada kes di mana individu tertinggal daripada bancian LZS.
Bagaimanapun, dari segi ketelusan pemilihan di peringkat bawah kita dapati masih ada kelemahan.
Contohnya, apabila seseorang itu tidak bercampur dalam masyarakat, mereka akan tersisih termasuk tercicir daripada senarai yang layak menerima bantuan.
Satu lagi mekanisme pemilihan kita ialah berdasarkan sokongan maklumat daripada jawatankuasa penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak sekolah. Malah di Selangor, semua agensi pembasmi kemiskinan diletakkan di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri supaya penyaluran maklumat dan bantuan dapat diselaraskan.
Malah LZS juga tidak mengehadkan jumlah penerima bantuan. Jika individu itu layak, maka kita akan mengeluarkan bantuan.
MR: Biasanya apabila kes penderitaan seseorang disiar menerusi media massa barulah banyak bantuan dihulurkan. Ini menimbulkan tanda tanya adakah institusi bantuan seperti LZS tidak memainkan
peranannya membantu golongan ini?
AHMAD SHAHIR: Kalau di Selangor, selalunya apabila disemak, individu terlibat biasanya sudah pun dibantu. Apa yang kurang mungkin mereka memerlukan lebih daripada yang kita salurkan.
Namun, kalau ia adalah kes yang tulen, kita ucapkan terima kasih kepada media. Kita akui mungkin ada juga kes yang terlepas pandang.
Kes seperti isteri yang baru kematian suami. Kes sebegini mungkin
tidak ada semasa bancian yang LZS lakukan pada tiga bulan lalu misalnya. Dalam hal begini, kita berharap mereka yang memerlukan bantuan merujuk kepada amil atau ketua kampung agar ia boleh dipanjangkan ke pihak kami.
Bagaimanapun, bagi kes kecemasan seperti bantuan bencana alam seperti ribut dan terbakar, ia akan disalurkan dalam tempoh 24 jam.
Kalau bantuan membaik pulih atau membina rumah, LZS perlukan sedikit masa untuk menyemak hal seperti status tanah dan siapa pemiliknya.
Syarat-syarat permohonan adalah bertujuan memudahkan sistem agihan. Jika tiada syarat sukar bagi LZS mengawal pengagihan wang zakat. Namun, lebih penting lagi ialah kita mahu memastikan bahawa wang zakat tidak disalahguna oleh mana- mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
MR: Bagaimana pula kejayaan projek asnaf usahawan LZS
setakat ini?
AHMAD SHAHIR: Sehingga hari ini terdapat lebih 1,000 asnaf di bawah naungan Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat (KUAZ). Alhamdulillah, setakat ini lebih 100 orang yang sudah boleh diklasifikasi sebagai asnaf yang berjaya. Ada yang sudah berjaya membebaskan diri daripada taraf asnaf fakir miskin malah mampu pula berzakat. Ada
yang berjaya berdikari sebagai pengeluar makanan yang terus berkembang. Ada juga yang baru bertatih dalam langkah yang meyakinkan.- Utusan