Tuesday, 3 June 2014

Subsidi Petrol Hanya Untuk Yang Berpendapatan RM5000 Kebawah Sahaja

Hanya rakyat berpendapatan tidak melebihi
RM5,000 sebulan yang menggunakan
kenderaan enjin berkapasiti di bawah 2.0 liter
layak menerima pemberian subsidi sepenuhnya
dalam pelaksanaan kaedah pemberian subsidi
petrol dan diesel yang dijangka bermula pada
September ini lapor akhbar berbahasa Cina,
Sin Chew Daily.
Pendedahan eksklusif akhbar tersebut yang
memetik sumber dalaman Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) melaporkan sistem itu
dijangkakan bermula pada September ini bagi
kenderaan komersil manakala Oktober dan
November bagi kenderaan persendirian.
Menurut Sin Chew Daily, sumber itu mengatakan
pemberian subsidi akan dilaksanakan melalui
pemberian elaun di mana setiap pengguna
kenderaan perlu mendaftar kepada Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan memberikan
butiran berkaitan cukai perseorangan atau syarikat
bagi mendapatkan kad minyak tersebut.
Kad elaun subsidi minyak yang bakal diberikan
kepada pengguna mengandungi maklumat seperti
nama penerima, alamat dan kuota bulanan minyak.
Bagaimanapun menurut akhbar itu, sekiranya
penggunaan elaun subsidi melebihi kuota
ditetapkan, pengguna perlu membeli sendiri
minyak mengikut harga pasaran.
Sumber itu juga mendedahkan pengguna kenderaan
berpendapatan RM5,000 dan tidak melebihi
RM10,000 turut layak menerima pemberian subsidi
tersebut, bagaimanapun dihadkan hanya sebanyak
300 liter.
Di bawah skim ini bagaimanapun tidak boleh
diguna pakai kepada mereka yang berpendapatan
lebih RM10,000 dan warga asing.
Menurut Sin Chew Daily, pelaksanaan sistem baru
itu belum diputuskan secara rasmi kerana KPDNK
masih mempertimbangkan keadah lain daripada
pihak berkaitan.
Pada 29 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan
Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan
memutuskan mengkaji semula pemberian subsidi
minyak bagi memastikan tiada kebocoran dalam
perbelanjaan kerajaan.
Katanya, tahun lepas kerajaan membelanjakan
sejumlah RM2.48 bilion bagi pemberian subsidi
petrol dan diesel manakala tahun ini pula sebanyak
RM22.3 bilion.
Menurut Sin Chew Daily, pemberian subsidi
berbentuk kad itu diputuskan bagi membolehkan
kerajaan mengkaji nilai penggunaan minyak yang
betul oleh pengguna.
Kerajaan juga dikatakan bercadang memperbaiki
sistem MyKad bagi pertambahan maklumat
penerima subsidi di dalam kad tersebut. – 3 Jun,
2014.

0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2014 Hub Berita | Designed With By Blogger Templates | Distributed By Gooyaabi Templates
Scroll To Top