Sunday, 6 July 2014
Impian Anak Linda Rafar Nak Jadi Al-Hafiz...
HASRAT anak kedua pelakon Linda Rafar untuk menjadi hafiz tidak kesampaian apabila kanak-kanak itu meninggal dunia akibat ketumbuhan kronik dalam perut semalam.
Rezaimen Kiflin Kefli, 12, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Bangi pada kira-kira 5.30 petang, Sabtu setelah menerima rawatan sejak Mac lepas.
Adik Linda yang juga pelakon drama, Diana Rafar, ketika ditemui berkata anak saudaranya sering menyuarakan hasrat untuk belajar di pusat tahfiz dan menjadi penghafaz Al-Quran.
"Memen (Rezaimen) sangat disayangi kerana sikapnya yang peramah dan periang namun pemergiannya semuda ini memang mengejutkan kami sekeluarga. Niat Memen memang mahu menjadi tahfiz kerana dia nak bawa anggota keluarganya masuk syurga," katanya kepada pemberita hari ini.
Diana ditemui sejurus jenazah Rezaimen selamat disemadi di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 pada kira-kira 10.30 pagi tadi.
Diana juga berkata sebelum Rezaimen didiagnos menghidap penyakit itu empat bulan lepas, Allahyarham sering mengadu senak dan sakit perut sehingga sukar bernafas namun keluarganya menyangka dia hanya mengalami gastrik atau apendiks.
"Kita hantar Memen ke hospital namun hasil pemeriksaan doktor amat menyedihkan kerana Memen disahkan mengalami penyakit kanser perut tahap empat.
Tahap kesihatannya semakin merosot dua, tiga hari lalu dan dia nazak sejam sebelum meninggal dunia," katanya.
Rezaimen, yang juga pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, adalah anak kedua hasil perkahwinan Linda, 36, dengan bekas suaminya, Kefli Othman.
Linda dan suaminya, Syed Aiman Syed Mahmud, 38, enggan ditemu bual kerana terlalu sedih serta sugul dengan pemergian Allahyarham.
Semalam, Linda sempat memuat naik sekeping gambar anaknya itu di laman sosial 'Instagram' yang menyatakan kesedihan beliau dengan pemergian Allahyarham buat selama-lamanya.
Turut hadir mengiringi jenazah ialah bapa kandung Rezaimen iaitu Kefli, pelakon Zamarul Hisham, yang juga suami Diana, serta beberapa rakan artis antaranya Sasha Saidin dan Lan Pet Pet. - Bernama

0 comments:
Post a Comment