Saturday, 9 August 2014

Khalid Ibrahim Wajar Dipecat Dari PKR - Lembaga Disiplin PKR

PETALING JAYA : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dipecat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta merta. Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, keputusan itu telah dibuat pada Mesyuarat Pimpinan Pusat (MPP) selepas meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan kes disiplin dan tatatertib terhadap Abdul Khalid.

"Dengan pemecatan itu, Abdul Khalid kini menjadi ADUN Bebas
walaupun kekal sebagai Menteri Besar Selangor," kata Tan semasa satu sidang media di Ibu Pejabat Keadilan, di sini. Tan menjelaskan bahawa Abdul Khalid didapati mengingkari keputusan MPP yang bermesyuarat pada 21 Julai yang sebulat suara memilih Presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Beliau membuat kenyataan media pada 22 Julai 2014 yang
menyatakan keengganan beliau meletakkan jawatan menteri besar
dan sehingga hari ini beliau terus enggan melepaskan jawatannya.

"Atas alasan ini sahaja pun, Lembaga Disiplin berpendapat beliau
wajar dipecat," kata Tan. Menurut Tan, MPP turut mengambil maklum bahawa Abdul Khalid ingkar terhadap keputusan yang dicapai oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) yang turut dihadiri Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk
menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2; dan menangguhkan kenaikan elaun speaker, menteri besar, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

"Beliau turut gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden PR yang
dipersetujui sendiri oleh beliau untuk melibatkan Jawatankuasa
Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air Selangor.
"Beliau turut berkeras untuk meneruskan projek Lebuhraya Kidex walaupun parti sudah mengarahkan beliau untuk mengkaji semula projek tersebut kerana ia bertentangan dengan matlamat dan manifesto PR yang dibentangkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

"Beliau turut gagal memberikan penjelasan sepenuhnya kepada
MPP mengenai isu pelupusan hutang beliau dengan Bank Islam
bernilai hampir RM70 juta," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution
berkata tindakan Abdul Khalid adalah pengingkaran secara terbuka.

"Pertimbangan yang dihalusi, diteliti dan diambil kira ialah 'open
defiance' terhadap parti dan PKR," katanya.

Apabila ditanya mengapa pendengaran penjelasan Abdul Khalid
tidak ditangguhkan ke 15 Ogos seperti permintaannya, ahli MPP
R.Sivarasah berkata penangguhan kes ini tidak perlu dan tidak
relevan. Ekoran pemecatan ini, Abdul Khalid mempunyai tempoh 14 hari untuk merayu keputusan MPP.

Pagi ini, Abdul Khalid menghantar notis peringatan kepada Lembaga Disiplin PKR untuk membantah perbincangan atas kesnya oleh mesyuarat MPP, namun perbincangan diteruskan seperti yang dirancang.

0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2014 Hub Berita | Designed With By Blogger Templates | Distributed By Gooyaabi Templates
Scroll To Top