Sunday, 22 June 2014

Hisham Nafi Kapten Zaharie Suspek Utama MH370

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyangkal laporan sebuah akhbar di United Kingdom mengenai juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah sebagai suspek utama di sebalik kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370. Hishammuddin berkata perbuatan akhbar terbabit yang melaporkan tanpa sumber sahih merupakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan bertujuan meningkatkan jualan akhbar.

"Kalau hendak layan akhbar di UK (United Kingdom), hari-hari mereka ada cerita baharu. Jika ada asas, pihak tertentu di UK kena beri kita bukti dan petunjuk. Kita akan siasat mengenainya dan tidak perlu heboh di akhbar," katanya kepada pemberita selepasmajlis 1Veteran 1Malaysia: Jasa Mu Sentiasa Dikenang dan Dihargai, di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, Malaysia sentiasa konsisten dari awal mengenai apa jua petunjuk kejadian itu dan setiap perkara yang perlu diperjelaskan kepada umum mesti mendapat pengesahan daripada pakar serta badan tertentu.

Beliau berkata kesahihan sebarang perkembangan kejadian terbabit amat penting kerana kerajaan tidak mahu keluarga juruterbang mahupun anak kapal dan keluarga keseluruhan penumpang menerima pelbagai tuduhan yang boleh menjejaskan mereka.

"Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga sudah
menegaskan bahawa kita menggunakan segala pertimbangan bila
kita siasat juruterbang, anak kapal dan penumpang. Jadi kita
jangan layan konspirasi teori kerana kalau ada perkara yang
disembunyikan sudah tentu ada pihak lain yang akan
membantah," kata Hishammuddin.

Akhbar Sunday Times, UK melaporkan polis Malaysia kini
menganggap suspek utama di sebalik kehilangan pesawat MH370
adalah juruterbang penerbangan tersebut, Kapten Zaharie Ahmad
Shah.

Akhbar itu melaporkan Zaharie menjadi sasaran kini selepas
semua yang lain di atas pesawat tersebut dibersihkan.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin menyifatkan desas-
desus yang mengaitkan namanya untuk menggantikan Tan Sri
Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri
sebagai perbuatan nakal dan tidak bertanggungjawab.
Naib Presiden Umno itu berkata tindakan seumpama itu sengaja
melaga-lagakan pemimpin dan bertujuan melemahkan parti.
"Kita tidak boleh ikut rentak ini kerana kita perlu rapatkan barisan
dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada perdana
menteri dan timbalan perdana menteri," katanya. -AstroAwani

0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2014 Hub Berita | Designed With By Blogger Templates | Distributed By Gooyaabi Templates
Scroll To Top