KLUANG - Peniaga pasar malam sekitar daerah ini,
dinasihatkan sentiasa berhati-hati ketika menerima
wang kertas not RM10, RM50 dan RM100 daripada
pelanggan, bagi mencegah penggunaan wang palsu.
Pengerusi Pasar Malam Parlimen Kluang, Mohd
Salleh Rahmat berkata, fenomena pengedaran wang
palsu sekitar pasar malam sejak kebelakangan ini
semakin berleluasa dan perlu diambil tindakan
segera.
Menurutnya, gejala itu berkemungkinan berlaku
kerana ketiadaan mesin khas mengimbas ketulenan
wang kertas dalam kalangan peniaga, sekali gus
menjadikan lokasi berkenaan sebagai sasaran.
“Ramai peniaga pasar malam di Kluang telah ditipu
pihak terbabit, namun mereka tidak berani
menyuarakannya kerana takut keselamatan terancam
selain merasakan bahawa ia hanya berlaku kepada
segelintir peniaga sahaja.
“Jika dibiarkan, pasti akan merugikan kami sebagai
peniaga. Kami berharap agar pemantauan daripada
pihak polis dilaksanakan di setiap pasar malam yang
ada dalam daerah ini,” katanya ketika ditemui di
Pasar Malam Kampung Melayu, kelmarin.
Mohd Salleh berkata, penggunaan wang palsu itu
berlaku ketika waktu kemuncak sekitar jam 6 petang
hingga 8 malam kerana pelanggan paling ramai
berkunjung ketika itu.
“Individu yang tidak bertanggungjawab ini akan
pergi ke gerai yang menjadi tumpuan dan akan
menggunakan wang palsu berkenaan.
“Pada masa itu peniaga tidak dapat mengesyakinya
kerana ramai orang, yang akan menanggung rugi
akhirnya adalah peniaga,” katanya.
Peniaga sata dan keropok lekor, Mohd Rabu Sujat, 45,
berkata, dia sentiasa berhati-hati jika menerima
wang kertas bernilai RM50 dan RM100 rentetan
beberapa kejadian melibatkan rakan peniaga lain.
“Kita sememangnya tiada mesin pengimbas, tanpa
rasa segan dan malu saya akan menayangkan wang
tersebut ke tempat bercahaya terang untuk
memastikan ia benar-benar tulen sebelum
menerimanya daripada pelanggan.
“Langkah ini terpaksa diambil kerana hanya itu
sahaja jalan yang ada dapat kami lakukan sebagai
peniaga kecil-kecilan dengan pendapatan tidak
seberapa setiap kali berniaga.
"Jika kita dapat wang palsu ini, kita sendiri yang
akan mengalami kerugian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten
Komisioner Mohd Roze Shaari memohon maklumat
dan kerjasama peniaga bagi menangani kegiatan
pengedaran wang palsu itu daripada terus berlaku.
“Jika boleh, mereka dikehendaki mengecam orang
yang mengedarkan wang tersebut, pada masa sama
melaporkannya kepada pihak polis untuk tindakan
lanjut.
“Mereka yang menggunakan wang palsu ini jika sabit
kesalahan boleh didakwa di bawah Seksyen 489B
Kanun Keseksaan, boleh dikenakan hukuman penjara
maksimum 20 tahun serta denda,” katanya. - SinarHarian
0 comments:
Post a Comment