Komen terbuka Professor Mohammad Agus Yusoff
untuk menghentikan kenyataan keluar Malaysia ternyata
menimbulkan ketidakpuashatian kepada penduduk Sabah dan
Sarawak terutama sekali para pejuang nasionalis Borneo.
Aktivis Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM), Abdul Halim
Hamdian berkata kenyataan Agus baru-baru ini menunjukkan
bahawa beliau begitu cetek pengetahuannya berkenaan
perlembagaan dan asas sesebuah perlembagaan.
“Persekutuan Malaysia sebenar telah lama pupus kerana
perbuatan Kerajaan Persekutuan yang membuang Singapura pada
9 Ogos 1965 tanpa kebenaran daripada kerajaan Sabah dan
Sarawak.
Jika perlembagaan Malaysia yang dilanggar, adakah ia versi 1963
atau versi 1976?” soal Halim.
“Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh, Tun Abdul Taib Mahmud
telah mengangkat sumpah menggunakan teks 1963 dan bukan
teks pasca 1976.
“Ini kerana hak perlembagaan menunjukkan ‘Negara Sarawak’ dan
‘Negara Sabah’ membentuk Persekutuan Malaysia tanpa
menghilangkan taraf kenegaraan mereka tetapi diturun taraf pada
tahun 1976 yang setaraf negeri Melaka yang lebih kecil daripada
bahagian Mukah dari sudut hak dan kuasa perlembagaannya,”
tambah Halim.
Sementara itu, Presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak
(SAPA), Lina Soo berkata semangat nasionalisme Sabah dan
Sarawak pada tahap yang tertinggi dan momentum ini perlu
diteruskan.
Dalam masa yang berasingan, Presiden Borneo’s Plight in
Malaysia Foundation (BOPIM), Daniel John Jambun, berkata
semangat nasionalisme Malaysia ‘tidak diperlukan’.
“Bagi saya, tiada perasaan nasionalisme terhadap Malaysia. Jadi
persoalan mengenai menjadi patriotik tidak perlu dibangkitkan
beliau (Agus),
“Bagaimanapun, tidak ada asas yang kukuh lagi bagi Sabah dan
Sarawak untuk berada dengan Persekutuan termasuk Tanah
Melayu.” tambah beliau.
Sarawak dan Sabah tetap kekal identiti kenegaraannya
Halim turut menuntut Prof. Agus membuktikan bahawa Kelantan
telah menandatangani Perjanjian Malaysia pada 1963 kerana
beliau menyamakan Kelantan setaraf Sabah dan Sarawak.
“Andaikata pihak Persekutuan Malaya pula mengatakan bahawa
mereka mewakili negeri-negeri di Malaya, maka mereka hendaklah
mendedahkan surat rasmi dari setiap kerajaan negeri di Malaya
mengenai pembentukan Malaysia.
Jika ada sekalipun, ia tidak akan menggugat fakta bahawa
Sarawak dan Sabah tetap kekal identiti kenegaraannya, maka
membentuk Malaysia atas dasar bersama dengan penuh ikhlas.
Tidak menjadi kesalahan juga untuk Negara Sarawak dan Negara
Sabah memisahkan diri setelah mereka memutuskan bahawa
keikhlasan mereka telah dikhianati oleh Persekutuan Malaya yang
menguasai Persekutuan Malaysia melalui Perlembagaan Malaysia
versi pasca 1976,” tegas beliau.
Tinjauan FMT juga mendapati gerakan-gerakan nasionalisme
Sabah Sarawak bergerak sangat aktif di laman sosial yang
membincangkan isu-isu berkaitan sejarah dan kenegaraan. FreeMalaysiaToday
0 comments:
Post a Comment